Moi dix Mois Guitar 2

RASULULLAH SEBAGAI TELADAN

DEMI sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan memperingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (al-Ahzab: 21)


Saban tahun di seluruh dunia, sambutan Maulidur Rasul memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w diadakan termasuk di negara kita. Dendangan selawat dan puji-pujian ke atas Baginda menghiasi halwa telinga dan cerita-cerita yang dipaparkan di media banyak mendatangkan keinsafan terhadap peranan kita sebagai umat Baginda.

Namun bagi umat Islam, keutamaan kita lebih dari sekadar untuk berarak dan berkumpul bagi merayakannya. Adalah amat penting untuk umat Islam terutamanya remaja menghayati keunggulan keperibadian Rasulullah dan menghayati sejarah perjuangan Baginda. Bagi remaja Islam, kekuatan keperibadian Baginda dapat dijadikan teladan yang baik (Qudwah Hasanah) untuk dicontohi.

Remaja dan contoh keperibadian Rasulullah

Remaja sentiasa mencari-cari seseorang untuk dijadikan contoh. Dalam hal ini, nyata remaja hari ini lebih mengagumi tokoh-tokoh popular, yang menonjol barangkali kerana rupa paras, ilmu atau kelebihan yang dimiliki dan remaja lebih suka menjadikan mereka idola atau pujaan hati mereka.

Dalam Islam, menjadikan seseorang sebagai contoh tidak boleh sehingga terlalu memuja orang tersebut. Contoh yang terbaik untuk diikuti ialah Rasulullah. Baginda selama 13 tahun berusaha berdakwah kepada umat Islam di Mekah untuk meninggalkan berhala yang menjadi idola dan sembahan mereka dan mengajak mentauhidkan Allah yang Esa.




Watak Rasulullah dibentuk oleh Allah melalui al-Quran. Sifat-sifat Nabi terserlah daripada peribadinya yang mulia, kebijaksanaan Baginda dalam memimpin negara, berlemah-lembut dan berhikmah dalam berdakwah serta berwasatiah (bersederhana) dalam soal kehidupan harian. Malah Rasulullah sentiasa mempamerkan budi pekerti yang baik dan terpuji kepada umatnya.


Sejarah hidup Rasulullah melalui pelbagai jalan getir dan hidup yatim piatu sejak kecil lagi apabila bapanya meninggal dunia ketika Nabi di dalam kandungan ibunya. Tidak dapat merasai kasih sayang seorang bapa, ibunda yang dikasihi pula meninggal dunia ketika usia Nabi masih muda. Keperitan Baginda membesar tanpa ayah dan ibu menjadikan Baginda seorang yang berdikari, matang di bawah jagaan datuk dan bapa saudaranya, selain perlindungan daripada Allah s.w.t.



Allah telah memberi tarbiyah kepada Baginda menjadi seorang yang jujur, amanah dengan menghadiahkan Nabi pengalaman hidup yang mendidik Baginda seorang yang terpuji. Terpuji kerana sifatnya yang tidak pernah menyembah berhala, sentiasa melihat dan merenung terhadap persekitaran dan kekayaan alam sekelilingnya. Atas sifat terbilangnya dan kepimpinan diri, Rasulullah diberi penghormatan menyelesaikan pertikaian dan perbalahan kerana perebutan kuasa dalam kalangan ketua kabilah untuk menempatkan Hajarul Aswad.



Baginda juga terkenal sebagai penggembala kambing dan peniaga yang memiliki sifat amanah, cekap, jujur, sabar dan ikhlas sehingga membawa keuntungan yang berganda untuk rombongan perniagaan Khadijah.



Banyak teladan dan contoh ikutan ditunjukkan junjungan besar Nabi Muhammad buat pedoman remaja dan belia. Sesungguhnya kehidupan seorang pemuda dan pemudi Islam tidak dapat lari daripada menjadikan Rasulullah sebagai model ikutan sepanjang zaman.



Justeru, remaja harus dididik agar memahami dengan sepenuh hati kaitan penghayatan sirah dengan kelangsungan hidup mereka terutamanya sebagai remaja serta kepentingan mereka menghargai sirah demi menjayakan misi hidup. Dengan keyakinan yang jelas terhadap kepentingan penghayatan sirah ini, ia mampu menumbuhkan kecintaan dan usaha dari dalam diri mereka sendiri untuk terus mencari dan menghayati sirah agung sepanjang hayat mereka.



Cara dan gaya mendidik remaja menghayati sirah harus bersesuaian dengan jiwa remaja iaitu ke arah mematangkan remaja dan melatih mereka berfikir sebagai manusia yang bertanggungjawab memikul amanah yang telah Rasulullah tinggalkan kepada setiap umat Islam.



Minda yang kreatif amat diperlukan demi menghasilkan produk-produk yang dapat membantu remaja mencerna dan menghayati sirah Rasulullah supaya produk yang dihasilkan menepati syarak, dijual dengan harga yang berpatutan dan berkualiti. Malah, usaha penerbitan filem animasi seperti Muhammad Utusan Terakhir serta filem Saladin yang menampilkan kebijaksanaan pemimpin-pemimpin agung Islam perlu terus didokong dan disokong supaya sirah nabi dapat disebar dengan lebih berkesan dan meluas.



Selain itu, Rasulullah harus ditonjolkan sebagai tokoh di zaman remaja Baginda. Ketokohan Baginda sebagai tokoh perniagaan sejak remaja lagi menyerlahkan Baginda sebagai ahli perniagaan remaja yang pintar membina strategi perniagaan berlandaskan nilai murni dan kejujuran.



Beliau ialah tokoh remaja yang kata-katanya dipercayai setiap lapisan masyarakat, tidak kira tua atau muda. Di sini, Rasulullah telah menetapkan asas kukuh bagi peribadi anak muda yang ingin bergerak aktif dan berjaya dalam bidang perniagaan iaitu bersifat amanah dan bertanggungjawab selain daripada mengetahui kemahiran dan strategi dalam perniagaan, walaupun masih baru dalam bidang tersebut.



Selain diri Rasulullah sendiri, sirah Baginda juga menampilkan ramai tokoh remaja lain yang gemilang hasil didikan Rasulullah seperti Ali bin Abi Talib, Usamah bin Zaid ,Tariq bin Ziyad, Abdullah bin Abu Bakr, Abdullah bin Zubair, Fatimah binti Muhammad, Aisyah binti Abu Bakr, Asma binti Abu Bakar, dan ramai lagi tokoh remaja yang menonjol kewibawaannya dalam masyarakat. Rasulullah telah berjaya mendidik mereka mewarisi peribadi unggul dan keberanian dalam menegakkan agama Islam.



Sebagai remaja Islam, perjalanan sirah akan lebih dihargai jika pengajarannya dihayati. Remaja akan berasa lebih karib dengan sirah apabila mereka ditunjukkan dengan pesanan-pesanan penting yang tersirat di sebalik fakta-fakta sirah. Di sini perlu wujudnya kesan kepada jiwa dan bukan semata-mata hafalan tarikh atau nama.



Remaja yang dapat menjadikan sirah sebagai penyegar jiwanya mampu membentuk jiwa dan rohnya supaya lebih tenang, bersemangat dan kental menghadapi cabaran mendatang.




Kesimpulan



Menampilkan contoh teladan yang baik adalah amat perlu untuk diri remaja. Contoh yang ditampilkan adalah mereka yang berakhlak mulia, mempunyai keterampilan dan berwawasan jauh, berilmu dan bijaksana serta mampu mengajak orang lain menjadi sepertinya.



Oleh itu, Rasulullah adalah contoh ikutan terbaik bagi seluruh umat manusia. Hari ini ramai tokoh yang lahir tampil mengagumkan kita, namun personaliti Rasulullah dan kebijaksanaan Baginda telah membawa perubahan kepada dunia seluruhnya sejak lebih 1,400 tahun lalu.



Baginda telah menampilkan transformasi yang besar kepada aspek sosial masyarakat, aspek pemerintahan dan aspek keteladanan yang boleh dicontohi pengikut.



Sesungguhnya, kelahiran Nabi Muhammad s.a.w membawa rahmat seluruh alam.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers