Moi dix Mois Guitar 2

LEE CHONG WEI TERLEPAS GELARAN



Lee Chong Wei


KUALA LUMPUR – Datuk Lee Chong Wei perlu menilai semula peluangnya meraih pingat emas Sukan Olimpik 2012, jika kekalahan terbaru kepada Chen Long dalam separuh akhir Kejohanan Badminton Siri Super Masters Akhir di Liuzhou, China semalam, diambil kira.

Pertarungan epik antara kedua-dua pemain yang berlanjutan sehingga satu jam 20 minit itu menyaksikan Chong Wei kecundang 21-16 16-21 21-18 kepada pemain No. 3 dunia tersebut.

Ia merupakan kekalahan ketiga bagi Chong Wei kepada Chen Long dalam empat pertemuan terakhir yang juga termasuk Terbuka Jepun dan Terbuka Denmark, dua bulan lalu.

Justeru, ia adalah satu perkembangan kurang enak ditelan tatkala saingan temasya London 2012 hanya berbaki tujuh bulan lagi dengan Chong Wei kini perlu mencari idea merobohkan bukan satu, tetapi dua tembok besar China.

Jika pada awal tahun ini tumpuan hanya diberikan kepada seterunya, Lin Dan, namun keadaan itu tidak sama lagi kerana kemunculan Chen Long yang prestasinya meningkat mendadak pada suku ketiga tahun ini, pastinya merumitkan lagi impian Chong Wei merangkul emas Olimpik.

Pada usia 29, Chong Wei menunjukkan yang dia tidak kurang hebatnya berbanding Chen Long, 22, dari aspek daya ketahanan dan stamina.

Malah, Chong Wei sebenarnya tidaklah beraksi hambar, tetapi telah tewas kepada lawan yang lebih mantap dan berada pada kemuncak prestasi.

Cuma apa yang menghampakan jaguh kita itu adalah kegagalannya mengekalkan fokus, sama ada menyerah mata-mata mudah kepada lawan angkara kesilapan sendiri serta membiarkan lawan mengejar dan sekali gus memintasnya.

Misalnya pada set pertama, Chong Wei dilihat selesa pada kedudukan 14-10, namun tercicir empat mata berikutnya sehingga menjadi titik tolak untuk pemain yang mendapat sokongan padu penyokong tuan rumah itu menang 21-16.

Chong Wei bangkit dengan aksi lebih bertenaga untuk menang 21-16 dan mengheret perlawanan ke rubber game, namun kecuaian awal menghadiahkan tiga mata percuma kepada Chen Long dilihat menjadi titik kejatuhannya.

Chen Long kemudiannya dua kali melebarkan kedudukan mata pada 10-5 dan 14-9, namun berjaya dirapatkan Chong Wei secara berperingkat sehingga mengikatnya 18-18.

Kebangkitan Chong Wei bagaimanapun tersekat pada angka 18, sebaliknya Chen Long kekal tenang dan meningkatkan rentak permainan untuk melengkapkan kemenangan 21-18.

Kekalahan tersebut bermakna Chong Wei, selaku juara Siri Super Masters Akhir sebanyak tiga kali, tidak kesampaian merebut gelaran keempat berturut-turut hari ini.

Chen Long akan bertemu Lin Dan, yang mudah menewaskan Peter Hoeg Gade 21-12, 21-15 dalam satu lagi pertembungan separuh akhir bagi perlawanan penentuan juara.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers